Wednesday, March 10, 2010

SISTEM DOKTRIN PENGASINGAN KUASA PEMERINTAHAN AMERIKA SYARIKAT DAN MALAYSIA

Pembahagian kuasa atau dalam bahasa Inggeris disebut “separation of powers” merupakan satu doktrin dalam pemerintahan demokrasi yang membahagikan urusan dalam negara kepada tiga cabang utama iaitu Pemerintah (Eksekutif), Perundangan (Legislatif) dan Kehakiman. Ia untuk mengelak atau menghindari bahaya “kezaliman” (tyranny), di mana dikatakan doktrin pembahagian kuasa (atau fungsi) dapat mewujud dan mengekalkan kepimpinan, kebebasan sebenar dan menghindari kemaharajalelaan (despotisma) dengan cara membahagi-bahagikan kuasa untuk mewujudkan semak dan seimbang (check and balance) antara kuasa tersebut. Doktrin pengasingan kuasa adalah suatu doktrin yang menjadi asas kepada kebebasan atau lebih dikenali sebagai liberalisme. Ini adalah kerana apabila kuasa dalam sistem pemerintahan dihadkan dan mempunyai garis panduan yang tersendiri, maka, ia dapat mengelakkan dari berlakunya kezaliman. Kuasa yang telah dihadkan menjadi satu batasan kepada setiap bidang untuk bertindak lebih jauh dalam menjalankan sistem pentadbiran. Ia boleh mengelakkan dari berlakunya pertindihan kuasa antara satu-satu bidang yang mengawal pentadbiran negara.


Doktrin Pengasingan Kuasa Dalam Demokrasi di Amerika Syrarikat (US)

Untuk ini kita akan lihat bagaimana pengamalan doktrin pengasingan kuasa atau “separation of power” ini dilakukan di Amerika Syarikat (US) yang merupakan sebuah negara memperjuangkan demokrasi. Penduduk di US lebih mementingkan ideologi liberalisme yang membawa kepada hak kebebasan individu agar setiap individu berhak untuk bersuara supaya tidak wujud penindasan, kezaliman dan ketidakadilan kepada rakyat. Cabang-cabang ini mempunyai peranan yang berbeza tetapi saling bergantung antara satu cabang dengan lain. Misalnya hakim dilantik oleh ketua Eksekutif, manakala undang-undang yang berpunca dari cabang legislatif akan digunakan oleh badan kehakiman untuk membuat keputusan, manakala pihak eksekutif pula akan menguatkuasakan undang-undang tersebut.


Tiga bidang kuasa ini telah diwujudkan dalam perlembagaan US. Dalam bidang legislatif, ia merujuk kepada dua dewan yang dikenali sebagai ‘House Of Representative’ dan ‘Senate’ yang telah diwartakan dalam Artikel 1 dalam perlembagaan US. Cabang kuasa Eksekutif, yang dianggotai oleh kumpulan Presiden, Timbalan Presiden, dan juga jabatan-jabatan yang menjalankan kuasa pemerintahan utama telah diwartakan dalam Artikel 2 dalam perlembagaan. Cabang kehakiman yang dianggotai oleh Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi telah diwartakan dalam Artikel 3 dalam perlembagaan. Setiap bidang yang dipecahkan dalam pengasingan kuasa ini ada bidang kuasa tersendiri dan setiap darinya mempunyai had dan batasan kuasa yang tersendiri. Setiap dari kuasa yang telah diwartakan telah diperiksa oleh satu badan bebas yang lain. Sebagai contohnya, sekiranya presiden telah melantik hakim untuk memegang jawatan dalam Mahkamah Persekutuan dan juga Mahkamah Tinggi dan dalam masa yang sama presiden juga telah melantik setiausaha untuk untuk jabatan pemerintahan. Tetapi perlantikan ini haruslah diluluskan dan mendapat kebenaran daripada Senate. Kongres juga berhak untuk meluluskan satu rang undang-undang, namun, presiden mampu dan berhak menolaknya jika rang yang dibuat dan diluluskan itu boleh mendatangkan kerumitan dalam jangka masa panjang kerana presiden mempunyai kuasa veto dalam menentukan hala tuju negara.

Kesemua semak dan seimbang ini walau bagaimanapun tidak efisien. Ini menggalakkan kewujudan dan kehadiran liberalisasi dalam sistem pentadbiran dan pemerintahan di US. Ini adalah kerana dengan pengasingan kuasa setiap bidang dalam kerajaan telah dihadkan kepada kuasa masing-masing. Ini bermakna tiada pemusatan kuasa dalam setiap cabang pemerintahan seterusnya tiada satu bidang pun yang mendominasi bidang kuasa yang lain. Sebagai contoh, dalam kes presiden Nixon, dalam skandal Watergate. Walaupun beliau ialah seorang presiden, namun, beliau tetap disiasat oleh badan kehakiman kerana disyaki terlibat dalam skandal Watergate. Ini jelas menunjukkan liberalisme berlaku dalam sistem pemerintahan dan juga sekaligus menjalankan keadilan kepada rakyat. Badan eksekutif tidak berhak mencampuri urusan yang telah dikendalikan oleh badan kehakiman walaupun Nixon adalah ketua dalam bidang eksekutif sekaligus sebagai pemimpin kepada negara yang di tadbir.

Dalam pentadbiran negara Amerika Syarikat, teori pengasingan kuasa diterima sepenuhnya kerana ia dianggap sebagai salah satu ciri-ciri demokrasi yang perlu dijalankan. Pengasingan kuasa yang dijalankan menurut para falsafah, ia mendukung ciri-ciri demokrasi selaras dengan dasar yang dijalankan di Amerika Syarikat. Selain daripada itu, dikatakan teori pengasingan kuasa ini menyokong penuh liberalisme di Amerika Syarikat. Oleh itu, dalam Negara yang mengamalkan demokrasi dan pengasingan kuasa pasti mengamalkan budaya liberalisme secara tidak langsung agar faktor-faktor tertentu terpelihara. Penduduk dan rakyat di Amerika Syarikat lebih mementingkan hak kebebasan individu. Oleh itu, para pemimpin US juga haruslah sentiasa peka akan rakyat yang sentiasa menuntut hak kebebasan dan hak asasi manusia yang dijunjung tinggi sekian lamanya di US.

Doktrin Pengasingan Kuasa Dalam Demokrasi di Malaysia

Perkara asas dalan doktrin pengasingan kuasa adalah dalam sistem pemerintahan dihadkan dan mempunyai garis panduan yang tersendiri mengikut pengasingan yang menjadi tunjang perlaksanaan konsep “separation of power” . Selari sebagai sebuah negara yang mengamalkan prinsip demokrasi, Malaysia juga mengamalkan doktrin pengasingan kuasa, tetapi sejauhmanakah pengamalan dan perlaksanaan doktrin pengasingan kuasa diguna pakai di Malaysia dalam mengelakkan pemusatan kuasa pemerintahan di dalam tangan sesuatu kumpulan tertentu.
Di Malaysia, pengasingan kuasa ini telah dipecahkan kepada tiga cabang atau organ kerajaan iaitu badan perundangan (legislatif), badan pentadbiran (eksekutif) dan badan kehakiman (judiciary). Badan perundangan atau legislatif adalah badan yang menggubal, meminda dan meluluskan sesuatu undang-undang. Ianya didokong oleh dua buah dewan iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat, yang mana keahlian Dewan Rakyat dipilih oleh rakyat melalui pilihanraya manakala Dewan Negara keahliannya dipilih oleh Yang Dipertuan Agong mengikut kepakaran bidang masing-masing. Badan pentadbiran atau legislatif merupakan badan yang melaksanakan undang-undang, serta menjalankan pentadbiran mengikut perlembagaan dan undang-undang yang terdiri daripada barisan menteri kabinet yang diketuai oleh Perdana Menteri. Manakala, badan kehakiman atau judiciary pula yang mentafsirkan undang-undang melalui sistem kehakiman di Malaysia dalam Mahkamah Majistret, Mahkamah Sesyen, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Walau bagaimanapun doktrin pengasingan kuasa yang diamalkan di Malaysia berbeza daripada doktrin yang asal. Malaysia mengamalkan doktrin yang mengutamakan kuasa relatif antara badan perundangan, badan eksekutif dan badan kehakiman. Yang Dipertuan Agong (YDPA), sebagai ketua negara mempunyai kuasa tertinggi dalam ketiga-tiga badan berkenaan, ini kerana Malaysia mengggunakan konsep Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Kuasa tertinggi di atas ketiga-tiga badan itu terletak pada Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Ini bermakna Yang di-Pertuan Agong adalah sekaligus merupakan ketua kepada ketiga-tiga cabang kerajaan. Menurut Perlembagaan, baginda bukan sahaja memegang kuasa eksekutif malahan juga kuasa perundangan. Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan iaitu kuasa memerintah Persekutuan dan Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan iaitu kuasa perundangan Persekutuan. Di sini, Raja Berperlembagaan adalah raja yang memerintah secara terikat mengikut perlembagaan yang telah ditetapkan. Baginda memerintah berdasarkan kuasa yang telah diberikan kepada baginda. Ini bermakna, baginda tidak boleh untuk memerintah secara mutlak mengikut kehendak hatinya sendiri. Baginda memerintah mengikut nasihat jemaah menteri yang diketuai oleh Perdana Menteri dan mengikut budi bicara baginda sendiri yang termaktub dalam Perlembagaan, Artikel 40, Perkara 2.


Disamping itu, jika kita lihat pengamalannya di Malaysia, badan perundangan (perundangan) dan badan pentadbiran (eksekutif) tidak terdapat pengasingan secara ketat diantara kedua-duanya dan dan ianya tidak selari dengan konsep ‘seperation of power’ di mana kuasa tersebut hendaklah dipecahkan atau diasingkan. Di sini, badan eksekutif yang mentadbir juga merupakan orang yang terlibat dalam badan legislatif yang membuat perundangan untuk dilaksanakan. Ini kerana ahli yang terlibat dalam perundangan dalam Dewan Rakyat juga merupakan ahli dalam badan pentadbiran (legislatif). Pihak Eksekutif sepatutnya tidak boleh menjadi seorang ahli badan perundangan (legislatif) dan badan kehakiman semestinya bebas dari campurtangan pihak Eksekutif dan Legislatif. Pada masa yang sama Perlembagaan Persekutuan - Perkara 122 B juga memperuntukkan bahawa perlantikan kehakiman ke mahkamah-mahkamah Tertinggi adalah dibuat oleh pihak Eksekutif yang menunjukkan ada kawalan tidak langsung terhadap badan kehakiman. Pihak Eksekutif pula dikawal oleh Parlimen dan bertanggungjawab kepadanya. Oleh yang demikian sistem pengasingan kuasa berserta dengan Konsep Kawalan dan Imbangan nampak kepentingan dalam mengelakkan pemusatan kuasa pemerintahan di dalam tangan sesuatu kumpulan tertentu sahaja.

Maka itu, idea terpenting mengenai pengasingan kuasa ialah orang yang sama tidak harus bertanggungjawab bagi membuat undang-undang, menguatkuasakannya dan menghukum orang-orang yang melanggarnya. Ini bermakna doktrin tersebut melibatkan pembahagian kuasa pemerintahan yang jelas antara badan perundangan, eksekutif dan kehakiman tanpa sebarang pertindihan. Doktrin ini menjelaskan bahawa badan yang membuat undang-undang hanya dibenarkan membuat dan tidak boleh menyerahkankuasa itu kepada badan-badan lain serta tidak boleh mempunyai kuasa-kuasa lain. Badan yang memerintah hanya dibenar menjalankan pemerintahan negara dan tidak boleh membuat undang-undang dan menjalankan kuasa kehakiman. Begitu juga dengan badan kehakiman yang hanya dibenrkan melaksana kuasa kehakiman dan tidak boleh membuat undang-undang atau menjalankan kuasa pemerintahan. Matlamat doktrin pengasingan kuasa ialah untuk mengelakkan pemusatan kuasa di dalam tangan mana-mana pihak.

No comments: