Sunday, March 8, 2009

Macan Negeri Pasir Dua Butir daaa......



“Apa di bawah pokok tu,” tanya Re seraya dijawab oleh Mi “Agaknya di bawah pokok sana tu orang jual ais krim tak”. Balas si Re “Ais krim nenek kau” ...itulah antara dialog yang diungkapkan oleh Re dan Mi setibanya mereka ke negeri Pasir Dua Butir setelah dibawa oleh tikar pandan terbang yang dikemudi oleh Do dari negeri Pasir Berdengung dalam filem Laksamana Do Re Mi arahan Tan Sri P. Ramlee.

Rupa-rupanya di bawah pokok itu adalah kerajaan negeri Pasir Dua Butir.

Jika dialog dan senario itu berlaku dalam filem yang diterbitkan pada tahun 1972, kini setelah 37 tahun berlalu, drama bawah pokok benar-benar terjadi dalam politik tanah air apabila Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar mengadakan sidang tergempar DUN di bawah pokok kira-kira 150 meter dari pagar utama bangunan Perak Darul Ridzuan, di Ipoh.

Sidang itu dihadiri oleh 27 ADUN pembangkang bermula pada jam 10.20 pagi dan berlangsung kira-kira 15 minit.

Walaupun telah dimaklumkan oleh Penasihat Undang-Undang Negeri dan Setiausaha DUN bahawa sidang tergempar itu tidak sah kerana tidak mendapzt perkenan Sultan Perak, Sivakumar tetap meneruskan rancangannya itu dan lebih menarik ‘sidang bawah pokok’ itu meluluskan tiga usul.

Usul-usul itu ialah mengesahkan keputusan Sivakumar melarang Menteri Besar Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dan enam EXCOnya daripada menghadiri sidang DUN, sokongan kepada Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar dan usul untuk membubarkan DUN Perak.

Drama itu tidak terhenti setakat itu sahaja apabila ‘Menteri Besar bawah pokok’ memaklumkan kepada wartawan, beliau akan menghadap Sultan Perak bagi memaklumkan keputusan yang dibuat oleh sidang tergempar DUN bawah pokok untuk membubarkan dewan.